Monday, May 5, 2008

Kenapa saya suka menulis?


Yang Kecil Menjadi Besar
Saya anak sulung dalam 18 adik beradik. Berasal daripada sebuah daerah kecil di Perak. sewaktu kecil saya hanya bercita-cita mahu menjadi seorang jururawat atau taukeh kedai runcit sahaja.
Namun perjalanan masa telah telah menelantarkan saya ke sebuah dunia alam pekerjaan yang amat menyeronokkan iaitu `kewartawanan'. Tiga puluh tahun lampau apabla saya mula tiba di Kuala Lumpur, saya telah bekerja di sebuah percetakan kepunyaan bumiputera di Brickfields. Pekerjaan awal saya hanyalah sebagai seorang `costing clerck' dan pembaca pruf sahaja.
Namun dari tahun ke tahun saya mula mempelajari segala yang berkaitan dengan dunia percetakan. Ini termasuklah penjenisan kertas, dakwat, mesin cetak dan bermacam-macam lagi.
Akhirnya saya mahir dan boleh membuat costing job.
Akibat daripada salah pengurusan, percetakan ini dilelong dan saya menjadi kakitangan terakhir yang meninggalkan premis kilang percetakan sewaktu kerja-kerja lelongan dijalankan... Cuba bayangkan bagaimana perasaan anda apabila duduk di tempat saya ketika itu?

Salah Urus Takbir Jali Terlingkup!
Sistem pengurusan perniagaan orang Melayu di tahun-tahun tujuh puluhan memang teruk. Bayangkanlah melalui pinjaman Mara, wang dijolikan sehingga perniagaan lintang-pukang dan terpaksa menghadapi tindakan undang-undang termasuklah lelong dan pelbagai lagi. Sudahlah begitu caruman EPF pekerja pun tidak dicarum. Akibatnya pekerjalah yang menderita...
Inilah liku-liku awal yang saya terima sewaktu mula-mula bertapak di Kuala Lumpur.
Kebetulan bekas majikan saya ini juga adalah seorang bekas wartawan senior. Namun kerana berminat untuk menjadi seorang usahawan dan orang politik, dia bergelanggang di dalam sebuah gelanggang tanpa persiapan yang cukup!

Pokok Tumbang Menimpa Gerai Rangsang Jadi Wartawan
Oleh kerana saya bekerja di syarikatnya, banyak hal berkaitan kewartawanan telah terdedah sedikit demi sedikit kepada saya secara tidak langsung.Ini termasuklah peristiwa pokok tumbang menimpa gerai-gerai kecil di tepi jalan yang mengakibatkan sepasang suami isteri meninggal dunia di situ.
Peristiwa ini terjadi pada tahun 1974. Ketika kejadian ramai wartawan dan jurugambar mengunjungi tempat kejadian. Ia berlaku kira-kira setengah jam selepas saya makan di gerai tersebut.Kalau terlambat sikit mungkin saya juga sudah menjadi arwah...
Syukur ya Allah kerana Engkaulah yang menentukan jalur takdir kehidupanku!
Peristiwa itu mencetuskan kegemparan baru di dada-dada akhbar. Yang penting gambar bekas bos saya dan YAB. Allahyarham Tun Razak yang datang ke tempat kejadian turut mewarnai surat khabar... Muka depan lagi. Kerana bos saya dikenali di kalangan wartawan junior, kilang tempa percetakan tempat saya bekerja yang terletak tidak jauh daripada tempat kejadian menjadi tempat persinggahan.
Saya menjadi begitu `tergugah dan tertarik' dengan kerja-kerja kewartawanan.Aduhai seronoknya kerja mereka.Kalaulah saya boleh seperti mereka... Itulah angan-angan yang membara rasa saya ketika itu.Sehingga membuang jauh rasa ngeri kemalangan yang hampir meragut nyawa andai saya tidak lekas-lekas beredar daripada gerai bawah pokok yang tumbang itu!
Kawasan percetakan yang terletak di Brickfields itupun bukanlah elok sangat.Ia terletak dalam sebuah lorong yang membariskan hotel-hotel kawasan merah di situ. Tetapi saya yang begitu naif awalnya kerana baru terkeluar daripada kepompong kampung. Hanya mendengar nasihat daripada kawan-kawan senior yang lain dan kami tidak melalui barisan hotel kawasan merah, tetapi melalui jalan pintas di tepi longkang panjang yang kini betul-betul terletak di bawah stesen Monorail KL Sentral sekarang.
Kini setiap kali menaiki monorail di situ, mata tertumpu ke lokasi kenangan dan berlegar kenangan lalu memintas berputar-putar, kadang-kadang mengundang sebak dan air mata mengalir tanpa sedar.Semuanya sudah berubah tidak seperti 30 tahun yang lampau.
Daerah `kelam' Brickfields mengajar banyak pendidikan untuk saya menjadi penghuni Kuala Lumpur yang tak pernah menjanjikan apa-apa kecuali jika kita gigih dan teguh, seperti belantara batu yang menyeliputi rimbanya. Insya-Allah kejayaan bakal menanti di hadapan.
Sekarang apabila sesekali saya menoleh ke `belakang' di ke seluruhan episod jalur kehidupan yang saya lalui di `Kolej Brickfields', ya Allah banyak sungguh pengalaman ditempuhi. Sudah tentu ada pelbagai rasa dan perisa terangkum rencah yang mematangkan saya. Kerana Bricfields jugalah telah melontarkan saya ke dunia kewartawanan dan penulisan yang terus saya cintai hingga ke akhir nyawa insya-Allah!
Selepas percetakan dilelong bank, bekas bos saya telah memperkenalkan kepada Allahyarham Pak Harun Hassan bekas wartawan dan Pengarang Utusan Melayu yang telah mendirikan Syarikat Amir Enterprise pada ketika itu. Bulan Mac 1976. Waktu itu Amir Enterprise Sdn.Bhd.
sedang rancak untuk menerbitkan Majalah KELUARGA, SARINA dan KISAH CINTA.
Inilah detik awal penceburan diri saya lebih aktif ke dalam dunia kewartawanan dan penulisan seperti yang telah saya nikmati sepeti sekarang...Kehidupan adalah sebuah novel fiksyen yang amat mengasyikkan jika pandai kita mengolah ceritanya untuk dikisahkan dalam sebuah kenyataan inilah punca kenapa saya suka menulis dan akan terus menulis...
Jangan lupa mengikuti catatan seterusnya!